Friday, September 5, 2008

PAS; HALATUJU,KOMENTAR DAN SARANAN

“Melayu, China, India dan Siam semua nya rakyat ambo belako” – Tuan Guru Nik Abdul Aziz

“ PAS Untuk Semua” dan “ Negara Kebajikan” Slogan PAS dalam PRU 12.


Slogan diatas merupakan slogan oleh PAS semasa PRU 12. Kalau perlu dikaji apakah yang tersirat d disebalik slogan dan ungkapan sedemekian oleh pemimpin PAS. Apakah slogan tersebut betul tersirat didalam lubuk kalbu para pemimpin PAS di semua peringkat, Majlis Syura ,Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAS,Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Muslimat dan pimpinan di peringkat Negeri dan Cawangan. Adakah mereka semua bersama Datuk Nik Abd.Aziz yang begitu bersimpati dan penuh perihatin dengan semua kaum dibawah pemerintahannya. Kiranya jemaah pimpinan PAS memang bersama Datuk Menteri Besar Kelantan dan mendokong slogan diatas, dapatkah mereka menterjemahkannya pada setiap masa dan tempat dengan kata ucapan dan tindakan yang dapat memberi keyakinan memang itulah pendirian PAS.

Siratan dalam ungkapan “ Melayu, China, India dan Siam Rakyat Ambo Belaka” hanya Ybhg Datuk Nik Abd.Aziz sahaja yang dapat menguraikannya.Walaubagaimanapun saya sebagai rakyat biasa berhak mentafsirnya mengikut perkiraan peribadi. Kami sebagai rakyat Tuan Guru , Melayu, China, India dan Siam gembira berada dibawah pemerintahan Tok Guru yang memerintah Negeri Cik Siti Wan Kembang dengan Perlembagaan yang sediaada, Perundangan yang dapat diterima umum, kehidupan yang aman damai tanpa kerenah dan unsur kezaliman. Pemerintahan yang adil jauh dari pilih kasih, kami peroleh kesamaan hak kehidupan dari apa yang telah diperuntukan dalam Perlembagaan Negara. Peribadi Tok Guru memikat seluruh rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Jadi tidak hairanlah diKelantan Melayu China, India dan siam bekerja keras semasa PRU12 bagi mempertahankan kerajaan pimpinan Tok Guru.(selepas Tok Guru?)

Ungkapan “PAS Untuk Semua” pada perkiraan penulis sepintas lalunya tidak banyak perbezaan dengan apa yang di ungkapkan oleh PAS Kelantan. Cuma adakah ia melindungi hasrat lain iaitu “Islam Untuk Semua Umat Manusia dan Untuk Semua Zaman”. Ini adalah hakikat yang termaktub dalam wahyu Allah STA. Kalau ini yang ada dalam siratan ungkapan tadi maka ianya perlu kapada perancangan jangka panjang yang mungkin dilihat sebagai mustahil untuk dilaksanakan dalam jangka masa yang agak pendik.Untuk ini kita sama-sama bincang dalam bahagian SARANAN kapada PAS.

Kira-kira seluruh rakyat terpikat dan menanti gerangan istilah “Negara Kebajikan”. Apa yang terkandung dalam ungkapan itu. Umumnya, ia menyentuh hal yang berkaitan kehidupan seharian manusia.Hal yang berkaitan dengan keperluan untuk hidup yang setaraf dengan situasi setempat, Malaysia. Mungkin kita dapat menyeraikan disini sebahagian keperluan asas yang berhak di nikmati oleh rakyat sebuah Negara Kebajikan iaitu makan, minum, pakaian, tempat tinggal yang selesa, api, air, kesihatan dan pelajaran disemua peringkat rendah dan tinggi. Bayangkan indahnya kehidupan dinegeri yang sebegini rupa. Banyak sekali tugas dan tenaga yang diperlukan oleh PAS bagi menjamin situasi yang diwarwarkan itu. Nescaya masa untuk berpolitik, kutuk mengutuk, hasad, dengki, tidak amanah, mungkir janji terpakasa dikuburkan. Semuanya terpakasa bertungkus lumus merencana kegiatan bagi memastikan hasrat murni dapat dicapai.Adakah ini berlaku dalam PAS pasca PRU 12. Atau makin hebat politik tanpa mengambil kira ungkapan-ungkapan di atas tadi

Rakyat disemua peringkat faham lagi arif Negara Kebajikan hanya boleh dicapai apabila PAS memiliki tampuk pemerintahan Negara. Hakikatnya PAS tidak ada kuasa dan mungkin tidak akan peroleh kuasa itu selamanya. Tuan guru Presiden PAS pun berkata tidak mahu jadi Mat Jenin. Tetapi PAS masih boleh berperanan bagi memperjuangkan matalamat yang murni tadi. “PAS untuk semua” dan “ Melayu, China, India dan Siam Rakyat Ambo Belako” perlu dijaga, di belai agar ianya dapat diyakini oleh Melayu, China, India, Siam dan semua bangsa yang cintakan kedamaian dan keharmonian hidup. Apakah ini tidak mencukupi untuk menentukan Hala Tuju PAS. PERJUANGAN PAS UNTUK MENCAPAI NEGARA KEBAJIKAN MERUPAKAN ALAT KEARAH MEYAKINKAN BAHAWA PAS UNTUK SEMUA DAN MELAYU,CINA,INDIA DAN SIAM RAKYAT AMBO BELAKO.


PAKATAN

Semasa PRU 12 PAS,Keadilan Rakyat dan DAP berpakat untuk menentang Barisan Nasional. Hasilnya Pakatan tersebut berjaya sehingga menggagalkan majority 2/3 suara Barisan Nasinal di Parlimen. Pakatan tersebut walaupun ikatannya belum kemas telah berjaya membentuk situasi politik Malaysia yang amat berbeza sekali setelah 50 tahun Barisan Nasional memerintah Malaysia. Semua peringkat mengatakan angin perubahan telah melanda Malaysia. Angin perubahan yang dibawa oleh PAKATAN ialah semua kaum yang ada di Malaysia akan diberi hak yang sama berpeluang menikmati rahmat yang ada dibumi ini, pentadbiran dan pengurusan yang lebih telus dan adil, keselamatan hidup yang terjamin. Itu bukan sahaja janji tetapi SUMPAH PAKATAN.

Walaubagaimana pun, sebagai orang muslim saya terpaksa melihat dari sudut keagaamaan perihal Angin Perubahan tersebut. Hanya ALLAH STA yang mengetahui kehendakNYA. Tidak manusia seorang pun menduga ini akan terjadi. Adakah ini terjadi untuk ALLAH menunaikan janjiNYA menukarkan “kaum muslim yang tidak inginkan agamaNYA dengan kaum yang lebih zalim dari kamu.” Ya ALLAH jauhkan laknat mu ini dari kami. Sebelum PRU 12 perkembangan Islam dibantut diseluruh Malaysia kecuali Kelantan. Siapa yang membantut perkembangannya? Tidak lain dari orang yang mengaku dirinya Islam.



Berpakat menjadikan kita lebih kuat. Makanya PAS dilihat makin kuat selepas PRU 12. Kekuatan yang ada ini perlu dicanai oleh PAS supaya menjadi lebih sinarnya agar ianya lebih bernilai kata orang tokok tambah nilai.Tambah nilai hanya boleh berlaku dengan adanya perencanaan dan usaha. Bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga perlakuannnya. Muzakarah dengan UMNO amat bertentangan dengan matlamat tambah nilai kekuatan PAKATAN.

SIRAT MUZAKARAH

Seluruh rakyat yang terbabit dalam angin perubahan terkejut dan tersentak dengan tiupan yang berbunyi MUZAKARAH diantara PAS dan UMNO. Kenapa ini boleh berlaku sedangkan ianya bertembung dengan ungkapan semasa PRU 12. Adakah ini satu pernyataan bahawa tidak kesemua pimpinan PAS termasuk Majlis Syura PAS menghayati matalamat ungkapan PAS Untuk Semua dan Melayu, Cina, India dan Siam Rakyat Ambo Belako. Adakah mereka ini juga berasa gusar, gundah gulana, kecut tentang kedudukan MELAYU sebagaimana yang di gemburkan oleh golongan NGO Melayu., MELAYU MESTI BERSATU dan MELAYU TERGUGAT. Itu satu hakikat, mahu kuat perlu bersatu.Tetapi kasatuan yang bagaimana?

Rakyat sekarang bukannya bodoh, mereka melayari pemikiran kumpulan yang inginkan bermuzakarah dengan UMNO walau atas alasan apa sekalipun termasuk helah politik atau helah dakwah. Apa yang ada dalam pemikiran mereka,melayu,islam, kuasa,pangkat, memerintah dan tinggalkan Pakatan. Kata YB Nasaruddin dia bermuzakarah dengan UMNO kerana dakwah. Berdakwah dengan UMNO boleh dibuat,tapi waktunya dan disaat ini tidak tepat. Bukan masanya berdakwah dengan UMNO,tunggu apabila ada kelapangan dan rancang bagaimana berdakwah dengan orang yang banyak mentelaah kitab agama dan lagi arif tentang Islam.Manusia yang berilmu sahaja yang dapat mencipta istilah ISLAM HADHARI. Apa yang bahaya kepada PAS ialah apabila para pelayar pemikiran kumpulan muzakarah menyimpulkan yang PAS tertarik dengan UMNO yang berjuang atas dasar Assobiah yang sekian lama menjadi kritikan PAS. Maka hilanglah keyakinan terhadap ungkapan PAS Untuk Semua. Apa yang akan berlaku apabila keyakinan terhadap PAS luput dari hati rakyat yang berbilang kaum dan agama.

ISLAM MEMERINTAH BUKAN DIPERINTAH

Tepat sekali dan inilah hakikinya yang Islam itu memerintah bukan di perintah. Inilah barangkali yang mendorong keputusan membenarkan muzakarah dengan UMNO. Keputusan ini telah menjadi perisai kepada kumpulan yang inginkan muzakarah.Adakah keputusan itu tepat dan kalau tepat kenapa ini telah menjadi isu hangat kepada PAS. Tak semena mena berkocok PAS. Dengan sistem politik dan struktur yang ada dapatkah Islam memerintah Malaysia. Kalau boleh silakan tapi kalau tidak berupaya maka perencanaan yang lain wajib dirangka dari sekarang dan jadikannya sebagai HALA TUJU PAS. Nescaya rencana besar itu akan melalui satu jangkamasa yang panjang mungkin 30 tahun dari sekarang. Namakan rencana itu KERANGKA 30(misalnya).

PAS masih beruntung kerana memiliki pemimpin seperti YB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berani menyanggah keputusan supaya menghentikan muzakarah dengan UMNO. Nasib baik yang menentang muzakarah itu Tok Guru kalau tidak si penentang itu terpaksa menghadapi tindakan disiplin kerana tidak mematuhi Majlis Syura. Budaya apa ini. PAS tidak perlu kepada budaya ini, biarkan partai politik lain sahaja menggunakan budaya perosak pengembangan minda itu. Kita berharap budaya diktator itu tidak menular kedalam PAS. Yang maksum itu hanyalah Nabi Muhammad s.a.w. Kritikan dan teguran yang membina mesti digalakkan dalam PAS.

AMAL MAKRUF NAHI MUNKAR

Memang setiap muslim berdepan dengan suruhan amal makruf nahi munkar. Kalau mempunyai kuasa keduanya boleh dilaku serentak. Tanpa kuasa apa yang harus kita lakukan? Apa kah PAS sudah merasakan tanggung jawab mengembangkan dan menegakkan islam dibumi Malaysia ini selesai dengan menuntut Islam mesti diatas walaupun tuntutan itu gagal. Apakah Pemuda PAS sudah berpuas hati dan merasakan telah memenuhi tanggungjawab apabila menentang persembahan konsert ratu rock Avri Lavigne walaupun tentangan itu gagal. Apa yang di perolehi oleh PAS? Banyak baiknya atau banyak padahnya. Pada pendapat penulis, Kehilangan keyakinan kepada PAS yang memperjuangkan “PAS Untuk Semua” semakin pupus. Justeru itu perjuangan Nahi munkar itu gagal. Dan dari segi politiknya pun tidak keberuntungan.

Dimana Amal makruf yang telah atau yang akan dilakukan oleh PAS dan Pemuda PAS. Amal makruf untuk seluruh rakyat Melayu,Cina, India dan Siam agar rakyat ini dapat menilai faedah setelah mereka memberi kayakinan mereka kepada PAS dalam PRU 12 yang lalu. Kalau adapun amal makruf yang hanya berkisar dikalangan ahli PAS yang umumnya Melayu tidak mencukupi untuk meyakinkan bahwa PAS Untuk Semua apatah lagi untuk meletakkan Islam diatas.

Disinilah , para pendokong dan pemimpin PAS dipelawa untuk berfikir sejenak yang mana perlu didahulukan diantara amal makruf dan nahi munkar. Dengan tenaga yang begitu terhad yang dimiliki PAS berapa peratus harus ditumpukan kepada amal makruf dan sebanyak mana pula perlu diperuntukkan untuk nahi munkar. Ini penting kerana PAS bukan sebuah Badan Dakwah tetapi sebuah Partai Politik Makanya pendekatan poltik perlu mengatasi segalanya. PAS perlu ingat semasa PRU lalu PAS telah mendapat pertolongan dari ALLAH S.T.A yang telah menterbalikkan hati orang bukan Islam untuk menyokong PAS apabila PAS berpakat dengan Melayu, Cina, India dan Siam bagi mewujudkan sebuah Negara yang lebih adil penuh dengan kebajikan yang diperintah diatas struktur pemerintahan yang sedia ada.

Kenapa agaknya kerja nahi munkar didahulukan, mungkin kerana lebih senang hanya dengan berkumpul beramai-ramai dan memberi ucapan atau menghantar memorandum tanpa terpaksa berbelanja besar dianggap sudah selesai. Berlainan dengan amal makruf yang memerlukan dedikasi, ikhlas, tenaga, waktu, perbelanjaan yang besar dan kepakaran.Maklumlah kerana terpaksa kepelusuk negeri untuk meyakinkan manusia yang Islam itu bersifat universal, terbuka dan suka membantu orang miskin. Adakah cukup dengan memberi sekampit beras setiap bulan ramadhan? Tidak dan tidak! Sepatunya keluarkan mereka dari belenggu kesusahan. Ini patut diperjuang dan lakukan setiap masa. Misalnya lantangkan suara mengatakan Kelantan masih boleh lakukan yang lebih baik dari apa yang telah dilakukan sejak 18 tahun yang lalu. Hebohkan sistem pengagihan zakat yang ada tidak berkesan bagi membantu rakyat yang berhak menerima zakat.Usah bermegah dengan jumlah wang zakat yang tersimpan dalam akaun bank dan bangunan zakat. Teriakkan bagaimana harta Negara dapat di kongsi bersama seluruh rakyat.

Sekarang PAKATAN memerintah dilima negeri , hantarlah pelbagai memorandum yang mengandungi formula kebajikan rakyat untuk dilaksanakan. Berdemonstrasilah untuk itu. Cemerlang lah PAS kalau ini yang ditonjolkan.

AlQURAN dan PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Ya Allah ya Tuhan ku berikanlah kami kekuatan untuk hidup dengan KitabMu, untuk mati dalam hayatan Alquran Mu, untuk berhukum dengan Alquran Mu. Ya Allah Yang Memerintah sekian alam ampunilah kami kerana masih gagal mengambil tempat yang diduduki oleh Perlembagaan Malaysia Amin Ya Rabbul Alami.

Orang beriman tidak ada masaalah dengan Alquran, orang Islam belum tentu (terbukti sudah) dan bagi bukan islam sudah tentu bermasalah dan menentang setiap perkara yang berhubung kait dengan Alquran atau Islam. Oleh itu satu pendekatan yang boleh diterima umum Melayu, Cina, India dan Siam perlu dirangka. Yang boleh diterima didahulukan dan yang sukar terus berdakwah sehingga mencapai kemenangan tanpa sedar penat dan lelah walau berjenerasi lamanya sekalipun. Usaha meminda Perlembagaan akan disuli penentangan, usaha menukar Perlembagaan mungkin disusuli perkara yang tidak dingini.Ambil saja iktibar dari kata ALLAH “manusia itu asalnya satu ummah tapi mereka berselisih,nescaya kalau Allah mahu Dia kan menghukum mereka yang berselisih itu” Yunus 19.Apa salahnya mengguna jenama Perlembagaan Malaysia tapi memiliki roh Alquran .

NEGARA KEBAJIKAN

Inilah kesimpulan penulis. PAS mesti jadikan Matlamat Negara Kebajikan sebagai halatuju PAS untuk 30 tahun yang akan datang kerana ianya mendapat tempat di hati nurani seluruh rakyat yang berbilang kaum dan agama ini. Sebagaimana yang dinyatakan diawal rencana ini Negara Kebajikan itu mengandungi persoalan makan, minum, pakaian, tempat tinggal yang selesa, api, air, kesihatan, keselamatan dan pelajaran disemua peringkat rendah dan tinggi. Rangka dan perincikanlah bagaimana harta Negara dapat diagihkan kepada seluruh lapisan masyarakat. InsyaAllah akan dibincangkan sepintas lalu mengenai aspek kebajikan ini.




SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Tuan Guru Presiden PAS YB Ust.Abdul Hadi Awang telah menyentuh sistem pendidikan Negara perlu di ubah. Semua lapisan rakyat perlu menyokong cadangan yang baik dan berani ini. Sistem pendidikan yang ada pada dewasa ini boleh dianggap gagal mendidik rakyat dari semua aspek termasuk rohani dan jasmaninya. Kita telah gagal melahirkan generasi yang bertoleransi diantara kaum. Sifat perkauman dan kebendaan begitu menebal tanpa ciri akhlak yang tinggi dan jiwanya kosong. Pengetahuan tentang agama kian meruncing.

Sebagai seorang islam penulis ingin mengajak seluruh orang islam khasnya meneliti bagaimana Allah telah mendidik manusia. Selama 13(tiga belas tahun) Allah telah mengajar manusia dengan ilmu tauhid dan selama 10 (sepuluh tahun) mengajar manusia tentang ilmu kehidupan dan kenegaraan. Setelah 23 tahun manusia yang berakhlakkan Alquran itu dikira sudah mantap untuk terus menjalani kehidupan sebagai khalifah dibumi ini.Kalau dasar pendidikan sebegini dilaksanakan diseluruh dunia islam,insyaAllah kita tidak akan berjumpa dengan orang islam yang buta Alquran. Tahu baca tak tahu apa yang diperkatakan(termasuk penulis).

Dasar Pendidikan perlu di robah bagi memenuhi kehendak berikut.

1 Dapat menyatukan rakyat berbilang kaum.
2 Rakyat beragama islam dapat menambah pengetahuan tentang ajaran islam itu sendiri dan memahami Alquran.
3 Didikan ilmu Tauhid dan dunia yang seimbang.
4 Dapat melahirkan generasi yang berakhlak tinggi penuh toleransi.
5 Pengurangan jurang social antara kaum.

Komunikasi yang berkesan diantara rakyat berbilang kaum merupakan faktor asas penyatuan kaum dan bahasa merupakan alat terpenting untuk manusia berkomunikasi. Pada masa ini penekanan terhadap penguasaan bahasa sebagai alat komunikasi antara kaum tidak dititik beratkan. Setiap kaum diMalaysia begitu taksub memperjuang bahasa masing-masing. Ini lah sebahgian besar gejala yang membantut usaha penyatuan rakyat. Penekanan yang lebih serius terhadap penguasaan bahasa ini perlu dilakukan segera mengambil kesempatan sesuai dengan perubahan yang telah dituntut oleh rakyat melalui keputusan PRU 12 yang lalu.

Disarankan pembelajaran di peringkat sekolah rendah dirombak dengan hanya menumpukan kepada mata pelajaran empat bahasa utama yang diperlukan rakyat iaitu bahasa melayu, mandarin, inggeris dan bahasa arab dan pelajaran membina akhlak.Pelajaran tentang empat bahasa itu akan berlarutan sehingga kemenengah tinggi.Untuk pelajar melayu pula diserapkan pembacaan al quran dan ilmu tauhid. Pelajaran akedemik seperti sains, metematik diserap secaral beransur mulai tahun yang keenam persekolahan sahaja. Umur persekolahan juga perlu di percepatkan daripada umur 7 tahun kepada 6 tahun.

Diperingkat menengah rendah pula anak-anak kita didedahkan mengenai sejarah setiap kaum termasuk sejarah Melayu, Islam, Cina dan India. Biar mereka tahu asal usul mereka. Bagi pelajar melayu pula penghafalan alquran perlu diwajibkan. Sementara di peringkat menengah tinggi pula pelajar melayu diwajibkan mempelajari tafsir alquran dimana didalamnya mengandungi “asbabunnnuzul”.


Dengan penstrukturan semula dasar pendidikan, Negara tidak perlu lagi mengadakan sekolah yang khusus seperti sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, atau pun sekolah agama rakyat. Bayangkan 15 tahun dari sekarang generasi baru berupaya berkomunasi dalam bahasa melayu, inggeris dan cina. Dan generasi ini sudah pasti akan memahami adat resam dan budaya pelbagai kaum. Bagi orang melayu pula dapat melahirkan golongan professional yang celik alquran. Agak kesal Kelantan telah melepaskan sekolah agamanya kepada kerajaan Pusat walhal dapat dijadikan contoh bentuk dan sistem pendidikan baru.


KESIMPULAN

Keputusan PRU 12 telah memperlihatkan kepada kita semua bahawa rakyat Malaysia sedang mencari sesuatu yang baru dari pihak pemerintah. Mereka dahagakan kebahgian dan keadilan yang dapat memberi mereka kepuasan hidup dalam sebuah Negara yang berbilang kaum ini. Bukan sahaja Barisan Nasional yang perlu berubah tetapi PAS juga perlu berubah . Sesungguhnya perjuangan menegakkan Negara islam perlu dinilai semula dan ditangguhkan sementara waktu. Dahulukan perjuangan menegakkan Negara kebajikan dan perjuangan mendidik semula rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. PAS perlu mengambil peluang merobah dasar kebajikan dan pendidikan di negeri yang diperintah oleh PAKATAN. Kesemua rakyat Malaysia mesti diberi peluang hak yang seimbang dalam sector ekonomi dan pelajaran diperingkat rendah , menengah dan tinggi. Pilihan hendaklah diberi kepada rakyat untuk menimba ilmu mengikut tahap yamg mereka mampu dan mahu.